Pertemuan semula dua jaguh muda Muay Thai, Johan Ghazali dan Ramadan Ondash mencuri perhatian di media sosial.
Jaguh Muay Thai muda negara itu sempat bertegur sapa dengan Ramadan sebelum beliau turun bertarung dengan Shimon Yoshinari untuk aksi suku akhir ONE Flyweight Muay Thai World Grand Prix 2026-2027.
Meskipun saling berbalas kenyataan di media sosial, Johan berkesempatan menyapa jaguh Lubnan itu dan bertanya tentang peluangnya dalam aksi berkenaan.
“Insya Allah,” kata Ramadan dalam satu video yang dikongsikan ONE Championship. Johan yang mesra disapa Jojo kemudiannya berkata, “Lakukan yang terbaik, biar Allah yang tentukan.”
Hasrat Ramadan meneruskan rentak kemenangan dalam saingan ONE Championship kemudiannya tidak kesampaian. Jaguh Lubnan itu tewas kepada Yoshinari dalam aksi yang diadakan dalam ONE Friday Fights 178.
Kekalahan Ramadan mengundang pelbagai reaksi termasuk juara dunia ONE Championship dari Malaysia, Aliff Rakib. Sebaik mengetahui keputusan pertarungan, Aliff meninggalkan komen simbol orang menangis di hantaran video itu.
Keputusan itu menyaksikan Yoshinari bakal berentap dengan mentor Johan, Nong-O Hama di peringkat separuh akhir. Legenda Thailand itu mara selepas menyingkirkan seorang lagi jaguh legenda, Rodtang Jitmuangnon dalam satu lagi aksi suku akhir.


