FAM Makin Hampir Terima Penaja Baru
MakanBola
FA Malaysia
Advertisements AnS

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menerima penaja-penaja baharu tidak lama lagi.

Perkara ini dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Media dan Pemasaran FAM, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan apabila ditanya tentang perkara tersebut.

Syed Mahadi memaklumkan rundingan bersama penaja-penaja baharu kini berada di fasa akhir. Sekiranya semua berjalan lancar, ini akan dibawa ke sesi pemeteraian kerjasama secara rasmi.

“Insya Allah kita akan mendapat penaja-penaja baharu yang kita telah kenal pasti, penaja-penaja yang beri komitmen. Insya Allah, itu kita akan bawa ke sesi menandatangani MoU (memorandum persefahaman),” katanya kepada Nadi Arena.

Laporan media tempatan menyatakan dua syarikat konglomerat besar tempatan antara penaja baharu yang bakal memeterai kerjasama dengan badan induk bola sepak Malaysia itu.

Meskipun begitu, sehingga artikel ini ditulis, identiti dua entiti gergasi korporat itu masih belum didedahkan.

Kehadiran penaja-penaja baharu dilihat bakal menambah kekuatan kewangan FAM dalam mengendalikan pelbagai program bola sepak Malaysia termasuk program akar umbi.

Terdahulu, FAM juga berpotensi menerima suntikan dana tambahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$25 juta (RM102 juta).

Dana tersebut bakal diagihkan menerusi Program Solidariti Lebihan FIFA (FSSP). Cadangan program itu bakal dibawa ke peringkat Majlis FIFA pada Disember ini sebelum dibawa ke Kongres FIFA pada tahun hadapan.