Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menerima ‘durian runtuh’ susulan keputusan terbaru Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Presiden FIFA, Gianni Infantino memaklumkan majlis badan induk bola sepak antarabangsa itu telah meluluskan satu inisiatif yang dipanggil Program Solidariti Lebihan FIFA (FSSP).
Inisiatif ini menyaksikan kesemua 211 negara ahli (MA) FIFA bakal menerima dana berjumlah AS$25 juta (RM102 juta) untuk kitaran 2027 hingga 2030. Jumlah keseluruhan agihan ini ialah AS$6.35 bilion (RM26 bilion).
Dana FSSP itu akan diambil daripada sebahagian rizab kewangan yang dimiliki FIFA. Jumlah ini cukup lumayan jika dibandingkan dengan agihan dana berjumlah AS$1 juta (RM4.1 juta) yang dibuat FIFA 10 tahun sebelumnya.
Infantino memaklumkan maklumat berhubung FSSP akan dimuktamadkan oleh Majlis FIFA pada Disember ini. Setelah itu, inisiatif itu akan dibawa ke Kongres FIFA untuk kelulusan bersama bajet.
Beliau turut mengesahkan agihan untuk program FIFA Forward 4.0 kepada konfederasi, persatuan bola sepak serantau atau zon dan mana-mana pemegang taruh juga akan ditambah.
Ini sebahagian daripada usaha berterusan FIFA untuk terus membangunkan program pembangunan akar umbi, bola sepak wanita dan menambah infrastruktur bola sepak sesebuah negara atau rantau.
Mesyuarat Majlis FIFA sama turut menyaksikan Infantino memohon maaf atas kekecohan yang tercetus berhubung cadangan menjual pegangan Piala Dunia kepada pelabur swasta. Beliau juga telah memohon maaf secara terbuka berhubung hal sama.