Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengingatkan anak buahnya untuk sentiasa konsisten & merendah diri selepas menewaskan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam aksi keempat Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada Khamis.
Kemenangan itu menyaksikan Kuching City meraih kemenangan pertama mereka dalam saingan ACL2 musim ini.
Aidil berpandangan sedemikian kerana Kuching City masih mempunyai perjalanan yang panjang bagi musim ini dalam kancah Liga Malaysia, Asia dan Asean.
“Ini merupakan permulaan yang cukup positif, namun kita perlu memastikan momentum ini dapat dikekalkan secara konsisten.
“Buat masa ini, kita tidak perlu terlalu memikirkan soal jaringan atau gol yang telah dihasilkan. Perkara yang paling penting adalah setiap pemain mendapatkan rehat yang secukupnya pada malam ini. Selain itu, kita perlu sentiasa merendah diri.”
Berikutnya, Aidil Sharin turut mengingatkan para pemain supaya untuk fokus perlawanan seterusnya iaitu separuh akhir kedua Piala FA menentang Selangor pada Ahad ini di halaman sendiri.
“Selepas itu, walaupun berjaya mencatat kemenangan yang baik, kita tidak boleh terlalu selesa atau berpuas hati. Sebaliknya, kita perlu terus fokus dan membuat persiapan untuk menghadapi perlawanan seterusnya pada hari Ahad ini.
“Seperti yang sering diingatkan oleh kapten pasukan, kita perlu sentiasa bersatu hati dan saling menyokong antara satu sama lain. Perjalanan kita masih panjang dan banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi. Oleh itu, kita perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada setiap perlawanan, satu demi satu,” kata Aidil Sharin selepas aksi bertemu Gangwon FC.
Kuching City bakal menerima kunjungan Selangor dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di Stadium Taha Ariffin. Kedua-dua pasukan pastinya bakal berentap habis-habisan dengan memberikan aksi terbaik masing-masing demi merebut tiket ke pentas final Piala FA musim ini.


