Juara bertahan Shopee Cup, Buriram United memulakan kempen kejohanan itu dengan satu mata apabila seri tanpa jaringan dengan wakil Indonesia, Borneo FC Samarinda.
Selepas muncul juara dua edisi berturut-turut, anak buah Mario Silva berharap dapat membuka kempen Shopee Cup dengan kemenangan. Kelebihan beraksi di Stadium Buriram juga ditagih untuk memburu kemenangan.
Peledak berbisa Brazil, Guilherme Bissoli menjadi sandaran gol Buriram. Ruben Lopez pula mengetuai jentera serangan pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah cuba mencari gol awal menerusi gandingan Bissoli, Paulinho dan Thanakrit Chotmuangpak.
Borneo hampir memecah kebuntuan pada minit ke-18 menerusi Asgal Habib. Malangnya, percubaan Asgal dinafikan penjaga gol tuan rumah, Chatchai Bootprom.
Buriram hanya menguji kecekapan penjaga gol Borneo, Kadu menerusi Paulinho pada minit ke-41. Rembatan deras penyerang Brazil itu pantas dinafikan Kadu bagi memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Vukan Savicevic dan Stefan Schimmer dibawa masuk bagi memperkemaskan jentera Buriram.
Malangnya, kemasukan mereka masih belum mampu membantu tuan rumah merobek gawang pelawat yang dikawal Kadu. Malah, Borneo hampir mendahului menerusi Kablan N’Goma tetapi digagalkan Chatchai pada minit ke-66.
10 minit kemudian, Eduardo Mancha pula berusaha meledakkan gol kemenangan Buriram. Walau bagaimanapun, Kadu sekali lagi menjadi penghalang kepada tuan rumah.
Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Buriram dan Borneo masing-masing menduduki tangga ketiga dan keempat Kumpulan A.