Asia

Bintang ‘Nombor 24’ Kuching City Dalam Radar Gergasi Asia

Kuching City Team Bintang ‘Nombor 24’ Kuching City Dalam Radar Gergasi Asia
Kuching City FC
Advertisements

Satu nombor jersi sudah lama dicatat dalam buku nota kelab gergasi Asia terhadap kelibat bintang nombor 24 skuad Kuching City FC.

Jaguh Borneo itu mencipta kejutan apabila menumbangkan Gangwon FC 2-0 dalam aksi keempat, Kumpulan H, Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin malam tadi. Safawi Rasid meledak dua gol pada minit ke-12 dan ke-19, manakala penjaga gol Haziq Nadzli melakukan dua aksi penyelamatan penting pada babak kedua.

Kemenangan itu merupakan yang pertama buat The Cats di pentas Asia, sekali gus menebus kekalahan 0-1 di Gangneung pada 29 Oktober lalu.

Menjelang perlawanan, pembantu jurulatih Gangwon, Park Yong-ho tidak berselindung bahawa penyerang berbisa Kuching, Ajdin Mujagic antara pemain yang dipantau rapi pasukannya. Beliau mengakui penyerang bernombor 24 itu merupakan antara watak paling mencuri tumpuan dalam skuad lawannya.

“Apa yang penting adalah kami tidak bolos esok. Saya boleh katakan mereka memiliki pemain muda berkualiti.

“Pada aksi pertama, pemain nombor 24 (Ajdin Mujagic) menjadi antara ancaman utama yang meraih perhatian kami,” katanya.

Park turut menegaskan Gangwon datang ke Kuching dengan persiapan rapi untuk mengutip tiga mata dan memastikan tiket ke pusingan seterusnya.

“Kami akan mempertaruhkan strategi terbaik untuk beraksi esok bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” tambahnya lagi.

Pemantauan itu bukan tanpa sebab. Penyerang kelahiran Bosnia itu sudah mengumpul lapan gol dalam sembilan perlawanan semua pertandingan sehingga pertengahan Oktober. Antaranya dua gol jarak jauh ke gawang bekas kelabnya, Sabah di Stadium Likas pada 5 September, dan hatrik ketika membenam Kelantan City 4-1 pada aksi suku akhir Piala FA.

Di pentas Asia, Ajdin turun sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol tunggal Kuching City ketika tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown pada aksi pembukaan, sekali gus mencatat gol pertama kelab itu dalam saingan peringkat Asia.

Pemain berusia 28 tahun itu sebenarnya bukan nama asing di pentas Liga Malaysia. Beliau meledak 17 gol dalam 20 perlawanan bersama Sabah sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Januari lalu.

Penyerang setinggi 1.89 meter itu kemudian dipinjamkan ke Kuching City pada Julai lalu. Malangnya, beliau tidak dapat diturunkan berdepan Gangwon ekoran kecederaan.

“Ajdin (Mujagic) juga tidak dapat diturunkan kerana mengalami masalah ketegangan pada bahagian pangkal paha, begitu juga Ahmad (Israiwah),” ujar Aidil Sharin Sahak, pengendali pasukan sebelum perlawanna.

Ketiadaan bekas penyerang Sabah itu menambah panjang senarai kecederaan skuad kendalian jurulatih kelahiran Singapura tersebut, termasuk dua tonggak yang perlu menjalani pembedahan dan seorang lagi yang cedera ketika sesi gim.

“Tiada apa yang perlu berselindung, Ronald Ngah dan Gabriel Peres terpaksa berehat selama 2 bulan kerana mereka perlu menjalani pembedahan lutut,” kata Aidil Sharin.

“Untuk aksi esok, Jimmy Raymond masih terpaksa disisihkan kerana pada hari ini ketika sesi gim, dumbel terjatuh di atas ibu jari kakinya.”

Kuching City kini melonjak tangga ketiga Kumpulan H dengan empat mata. Mereka berada di belakang Phnom Penh Crown (9 mata) dan Kitchee SC (5 mata), manakala Gangwon jatuh ke tangga tercorot dengan empat mata kerana perbezaan gol dengan hanya dua pasukan teratas layak ke pusingan 16 terbaik.

Kuching City akan menerima kunjungan Phnom Penh Crown, iaitu pasukan yang pernah dibolosi Mujagic, pada 26 November sebelum bertandang ke Hong Kong menentang Kitchee pada 3 Disember. Gangwon pula masih perlu berdepan Phnom Penh Crown dan Kitchee.