ACL

ACL2: Benam Gangwon, Kedudukan Kuching City Terus Naik

Ramadhan Gangwon Kuching City FC ACL2: Benam Gangwon, Kedudukan Kuching City Terus Naik
Kuching City FC
Advertisements

Kuching City FC berjaya memperbaiki kedudukan dalam carta Kumpulan H saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2026/2027 selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Gangwon FC dalam aksi keempat pada Khamis.

Kemenangan di Stadium Taha Arifin itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memperbaiki kedudukan mereka selepas sebelum ini menghuni tangga keempat dengan hanya satu mata daripada tiga perlawanan.

Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid menjadi watak utama kemenangan The Cats apabila meledakkan dua gol pada minit ke-13 dan ke-20 untuk memastikan Kuching City memperoleh tiga mata penuh.

Keputusan tersebut membolehkan Kuching City mengumpul empat mata hasil satu kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan selepas mengharungi empat perlawanan peringkat kumpulan.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan H, Kitchee SC turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Phnom Penh Crown FC menerusi jaringan Kendy pada masa kecederaan, sekali gus memberikan kesan kepada persaingan di kelompok teratas.

Phnom Penh Crown kekal menerajui carta dengan sembilan mata meskipun mengalami kekalahan pertama, manakala Kitchee melonjak ke tangga kedua dengan lima mata selepas meraih kemenangan kedua dalam kempen tersebut.

Kuching City kini berada di belakang Kitchee dengan perbezaan satu mata, manakala Gangwon jatuh ke tangga keempat dengan empat mata selepas tewas kepada wakil Malaysia itu.

Meskipun berkongsi jumlah mata yang sama dengan Gangwon, Kuching City memiliki kelebihan perbezaan jaringan dengan empat gol dijaringkan dan empat bolos, berbanding dua gol dijaringkan serta empat bolos oleh kelab Korea Selatan tersebut.

Kedudukan terbaharu itu menyaksikan Kuching City kini berada hanya satu mata di belakang zon kelayakan ke pusingan 16 terbaik, dengan dua perlawanan masih berbaki dalam saingan peringkat kumpulan.

The Cats dijadualkan menerima kunjungan Phnom Penh Crown pada 26 November sebelum bertandang ke Hong Kong untuk berdepan Kitchee pada 3 Disember dalam dua aksi terakhir yang bakal menentukan peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16 terbaik ACL2 2026/2027.