ACL

Gangwon Hadapi Kuching City Tanpa Pemain Negara Haram

Gangwon FC 1 Gangwon Hadapi Kuching City Tanpa Pemain Negara Haram
Gangwon FC
Advertisements

Kelab Korea Selatan, Gangwon FC bakal berdepan Kuching City FC tanpa kelibat penyerang Israel, Abdallah Hleihel.

Kelab K-League 1 itu memilih untuk tidak membawa Abdallah untuk aksi keempat Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Perkara ini disahkan penolong jurulatih Gangwon, Park Yong-ho apabila ditanya tentang status penyerang berusia 25 tahun itu.

“Abdallah Hleihel tidak sertai kami ke Kuching,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Untuk makluman, Abdallah merupakan pemain Arab Israel dan beragama Islam. Meskipun begitu, statusnya sebagai warganegara Israel dijangka memberi kesukaran dari segi pelepasan.

Ini kerana Malaysia dan Israel tidak memiliki sebarang hubungan diplomatik. Malaysia juga secara konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim.

Kali terakhir pemain Israel mendapat pelepasan khas untuk beraksi di negara ini ialah Yossi Benayoun pada 2011. Pada ketika itu, Chelsea mengadakan aksi pramusim di Malaysia dengan Benayoun sebahagian daripada rombongan pasukan pada ketika itu.

Tindakan Gangwon mirip apa yang dilakukan kelab Jepun, Machida Zelvia ketika bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk kempen Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim lalu.

Seperti Gangwon, Machida juga memiliki seorang pemain Israel, Neta Lavi dalam skuad mereka. Kelab Jepun itu tidak membawa Lavi untuk aksi ACLE menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).