Pemain pertahanan Kuching City FC, Filemon Anyie menyeru penyokong tuan rumah agar hadir beramai-ramai menjelang aksi menentang Gangwon FC dalam perlawanan keempat Kumpulan H, saingan AFC Champions League Two (ACL Two).
Pertembungan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada 5 November 2026, jam 8.15 malam itu cukup penting buat The Cats dalam usaha memburu kemenangan pertama kempen tersebut.
Bercakap dalam sidang media praperlawanan pada petang Rabu, Filemon berharap kehadiran penyokong dapat menjadi pembakar semangat buat Kuching City untuk menghadapi Gangwon.
“ Saya berharap penyokong tuan rumah, Kuching City, datang beramai-ramai untuk memenuhi stadium dan memeriahkan suasana.
“Saya juga berharap mereka dapat memberikan sokongan kepada pasukan supaya kami lebih bersemangat. Itu sahaja yang saya harapkan. Semoga semua penyokong hadir untuk perlawanan esok,” katanya.
Kuching City kini menghuni tangga tercorot Kumpulan H dengan satu mata selepas tiga perlawanan. Mereka turut membawa misi menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Mengulas persediaan pasukan, Filemon mengesahkan bahawa para pemain berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal meskipun Kuching City berdepan masalah kecederaan pemain utama.
“ Dari segi mental dan fizikal, semua pemain sudah bersedia.
“Apa sahaja perancangan ketua jurulatih, kami sebagai pemain perlu melaksanakannya untuk perlawanan esok.
“Berkenaan pemain yang mengalami kecederaan, mungkin pemain yang tidak cedera akan bersedia untuk menggalas tugas sebagai pemain utama.
“Mereka akan memberikan yang terbaik untuk perlawanan esok,” jelasnya.
Dalam pertemuan pertama di Korea Selatan pada 29 Oktober lalu, Kuching City tewas 0-1 kepada Gangwon menerusi jaringan Choe Byeong-chan pada minit ke-28.
Filemon mengakui Gangwon memiliki organisasi permainan yang baik dan menyifatkan Choe Byeong-chan sebagai antara pemain yang perlu diberikan perhatian.
“Pasukan lawan merupakan sebuah pasukan yang sangat berdisiplin dan tersusun.
“Pemain utama mereka ialah kapten pasukan, iaitu pemain bernombor 96 (Choe Byeong-chan). Dia merupakan pemain serba boleh yang perlu kami awasi.
“Namun, pasukan kami, Kuching City, juga perlu berhati-hati.
“Apa sahaja yang telah dirancang oleh jurulatih, kami perlu mengikutinya. Itu sahaja untuk mendapatkan kemenangan pertama kami dalam ACL,” katanya.
Gangwon kini berada di tangga kedua Kumpulan H dengan empat mata dan berhasrat mengukuhkan kedudukan bagi merebut slot ke pusingan 16 terbaik.
Sementara itu, Kuching City kendalian Aidil Sharin Sahak perlu mengharungi cabaran dengan skuad yang terjejas akibat kecederaan menjelang aksi timbal balik separuh akhir Piala FA menentang Selangor pada 8 November.


