Skuad Malayan Tigress B-17 membuka kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027 dengan langkah kanan selepas berjaya menewaskan Syria 1-0 di Stadium MP Selayang, malam ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia mengutip tiga mata penting dalam aksi pertama Kumpulan E sekali gus membuka peluang untuk memburu tiket ke pentas Asia.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, India terlebih dahulu mencatat kemenangan besar 14-0 ke atas Iraq untuk turut mengumpul tiga mata.
Keputusan itu menyaksikan India berada di tangga teratas kumpulan dengan kelebihan perbezaan gol yang besar, manakala Malaysia menghuni tempat kedua.
Syria pula berada di tangga ketiga tanpa sebarang mata selepas tewas kepada Malaysia, manakala Iraq menduduki tempat terakhir selepas dibelasah India.
Malaysia kini perlu mengekalkan momentum tersebut dalam aksi kedua menentang Iraq pada 8 Oktober ini.
India pula akan berdepan Syria pada hari yang sama sebelum bertemu Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan E pada 11 Oktober.
Hanya juara Kumpulan E akan mengesahkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027.
Justeru, kemenangan ke atas Syria menjadi permulaan cukup penting buat anak buah Takayoshi Ishihara dalam usaha mencipta sejarah dengan membawa Malaysia ke pentas Asia.