Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengutus surat rasmi kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab’ Ghani Hassan bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Sabah FA atas kejayaan muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2026.
Surat bertarikh 18 November 2026 yang dikeluarkan di Zurich, Switzerland itu menyatakan kegembiraan Infantino untuk mengucapkan tahniah kepada Sabah FA atas kejayaan merangkul kejuaraan bola sepak wanita Malaysia.
Menerusi surat berkenaan, beliau mengiktiraf usaha berterusan serta pencapaian pasukan sepanjang musim yang akhirnya membuahkan hasil dengan kejayaan meraih gelaran tersebut.
Infantino turut menyampaikan ucapan tahniah kepada setiap pemain dan seluruh warga kelab atas pencapaian berkenaan.
Dalam surat sama, Presiden FIFA itu turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ab’ Ghani dan FAM atas sokongan berterusan, usaha serta komitmen mereka terhadap pembangunan bola sepak wanita di Malaysia.
Beliau juga menyatakan harapan untuk bertemu semula dengan Presiden FAM itu dalam masa terdekat.
Surat berkenaan kemudian dikongsikan Sabah FA menerusi laman Facebook rasmi mereka dengan menyifatkan ucapan tahniah dan pengiktirafan daripada Presiden FIFA itu sebagai satu penghormatan besar serta suntikan semangat kepada seluruh warga bola sepak Sabah.
Sabah FA turut merakamkan penghargaan kepada Presiden FIFA, Presiden FAM, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Setiausaha Agung FAM, Setiausaha Agung SAFA, barisan pengurusan Sabah FA serta semua pihak yang terlibat dalam kejayaan berkenaan.
Menurut Sabah FA, pencapaian itu bukan milik individu semata-mata, sebaliknya hasil sokongan, kerjasama, pengorbanan dan komitmen semua pihak dalam usaha memperkasakan pembangunan bola sepak wanita di negeri itu.
Sebagai rekod, Sabah FA muncul juara LWN 2026 selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 1 November lalu menerusi jaringan tunggal Enzi Hekima Starks Broussard pada minit ke-89.


