Timbulnya dua persoalan penting susulan kekalahan Terengganu FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), pada Ahad.
Skuad kendalian Nafuzi Zain terpaksa akur merekodkan kekalahan kedua musim 2026-27, selepas tewas kepada JDT dengan keputusan 3-0 di Gong Badak.
Dua jaringan pada babak pertama menerusi Bergson Da Silva dan Oscar Arribas disusuli satu ledakan Shahab Zahedi melengkapkan tiga mata buat Harimau Selatan.
Menerusi analisis perlawanan oleh bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah, beliau melihat terdapat kelompongan pada pertahanan skuad Peteh terutamanya ketika pemain mampu melepasi kawalan untuk mencipta jaringan.
“Kebanyakan jaringan yang dihasilkan dalam liga ini hasil larian ke depan oleh penyerang. Jaringan kedua JDT ini seakan sama dengan jaringan pertama mereka pada perlawanan ini.
“Persoalannya, di mana pemain yang sepatutnya menjaga Arribas daripada melakukan larian? Beliau sepatutnya berada di hadapan pemain ini dan bukannya membiarkan satu pertahanan tengah untuk mengawal,” kata Yusri.
Yusri percaya bahawa setiap pemain perlu menggalas tanggungjawab di atas padang dengan baik, tatkala jurulatih telah mempersiapkan pasukan sebaik mungkin terutamanya berdepan pasukan hebat seperti JDT.
“Persoalan kedua, di mana tanggungjawab kita sebagai pertahanan kanan yang membiarkan pemain yang kita jaga berjaya menjaringkan gol.
“Saya tekankan di sini, cukup sukar untuk jurulatih jika pemain masih menunding jari untuk menyalahkan pemain selepas jaringan terhasil. Akhirnya, jurulatih yang perlu bertanggungjawab,” tambah beliau kepada Astro Arena.
JDT bakal menentang Brunei DPMM bagi aksi separuh akhir Piala FA 26-27 pada Jumaat, 23 Oktober manakala Terengganu bakal berdepan Sabah pada 31 Oktober ini.