Jadual perlawanan yang dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat lebih padat berbanding dua kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid.
Ini berdasarkan data bilangan perlawanan paling padat yang dikongsikan ASEAN Football untuk kelab-kelab bola sepak dunia dari Oktober hingga Disember ini.
Data tersebut menunjukkan JDT perlu mengharungi 18 perlawanan. Ini disebabkan kelab itu bukan saja mengharungi aksi Liga Malaysia (Liga M).
Malah, anak buah Xisco Munoz juga perlu menempuh baki aksi Shopee Cup dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) untuk tahun 2026.
Jumlah itu mengatasi lima kelab yang mengharungi 16 perlawanan. Selain Barcelona dan Real Madrid, dua kelab gergasi Portugal, FC Porto dan Benfica serta kelab Vietnam, Viettel turut berdepan jumlah perlawanan sama.
Persib Bandung mengetuai senarai kelab yang mengharungi jadual padat dengan 22 perlawanan. Buriram United pula berdepan 20 perlawanan.
Menariknya, kelab gergasi Thailand itu berdepan jumlah perlawanan sama dengan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Liverpool.


