Impak Peter Cklamovski Diiktiraf Di England
MakanBola
Salford City FC

Impak bekas jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski bersama Salford City mula diiktiraf di England.

Selepas membantu kelab kekal tanpa kalah sepanjang bulan September, jurulatih Australia itu tercalon untuk Pengurus Terbaik Bulanan Liga Dua Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) untuk bulan tersebut.

Cklamovski membimbing The Ammies meraih empat kemenangan dan satu keputusan seri. Ini termasuk gol lewat Kelly Nmai yang membantu Salford menewaskan Newport County.

Cklamovski berdepan cabaran tiga lagi calon untuk merebut anugerah Pengurus Terbaik Bulanan Liga Dua September 2026.

Tiga lagi pencabar beliau ialah pengurus Gillingham, Gareth Ainsworth, Steve Cotterill (Cheltenham Town) dan ketua jurulatih Rochdale, Ian Watson.

Panel hakim akan menilai prestasi keempat-empat calon ini bersama pasukan masing-masing sepanjang September. Pemenang akan diumumkan pada 10 Oktober ini.

Selain Cklamovski, pemain Salford, Joe Powell turut tercalon untuk merebut anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Dua September 2026.