Harimau Malaya

Tonggak Malaysia B-17 Tak Sabar Jumpa India & Palestin

1 20261105 205654 0000 Tonggak Malaysia B-17 Tak Sabar Jumpa India & Palestin
Malaysia NT
Advertisements

Pertahanan skuad Malaysia B-17, Adam Muqri, mengakui tidak sabar untuk berdepan Palestin dan India menjelang aksi pembukaan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 2027, Ahad ini.

Skuad kendalian Shukor Adan bakal membuka kempen menentang Palestin pada 8 November sebelum berdepan Singapura (14 November), Guam (17 November) dan India (20 November) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir di Uzbekistan.

Adam menyifatkan peluang mewakili negara sekali lagi sebagai satu penghargaan besar, selain menyuarakan keyakinan terhadap persiapan pasukan.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan kesyukuran kerana diberi peluang sekali lagi untuk mewakili negara. Rakan sepasukan yang lain juga berasa sangat teruja dan tidak sabar, terutamanya bagi mereka yang pertama kali beraksi di pentas antarabangsa. Kami sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang di sana,” katanya.

Mengulas kekuatan pasukan, Adam berkata kelajuan menjadi antara kelebihan utama Harimau Malaya untuk memberikan saingan kepada lawan.

“Pasukan kita bergantung kepada aspek kelajuan. Walaupun terdapat kekurangan dari segi fizikal, kami tidak menjadikan perkara tersebut sebagai alasan,” katanya.

Adam turut menyenaraikan Palestin dan India sebagai dua pasukan yang paling dinantikannya dalam kempen berkenaan.

“Pasukan yang paling saya nantikan adalah sudah tentu Palestin dan India, yang merupakan satu perlawanan penting buat kami,” katanya.

Menjelang pertemuan itu, Harimau Malaya mempunyai pengalaman positif selepas muncul naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 di Indonesia pada April lalu.

Dalam lima perlawanan kejohanan berkenaan, skuad muda negara merekodkan tiga kemenangan ke atas Indonesia (1-0), Timor-Leste (2-0) dan Laos (3-0), selain tewas kepada Vietnam sebanyak dua kali dengan keputusan 0-4 di peringkat kumpulan dan 0-3 pada aksi final.

Rekod itu menyaksikan skuad muda negara menjaringkan enam gol dan bolos tujuh kali sepanjang kejohanan, sekali gus memberikan gambaran mengenai prestasi semasa anak buah Shukor sebelum mengharungi cabaran kelayakan Asia.

Skuad muda negara kini perlu memberikan tumpuan kepada aksi pembukaan menentang Palestin sebelum mengalihkan perhatian kepada tiga lagi perlawanan kumpulan, termasuk pertemuan menentang India yang turut menjadi perhatian Adam.

Dengan hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir, setiap mata amat penting buat Harimau Malaya dalam usaha merealisasikan hasrat beraksi di pentas Piala Asia B-17 2027.