Kemenangan ke atas Chinese Taipei memberikan suntikan keyakinan buat Malaysia menjelang aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia B-17 2027 yang bakal berlangsung pada Ahad ini.
Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP), Datuk Ong Kim Swee menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Menurut Ong Kim Swee, tiga aksi persahabatan yang dilalui pasukan sebelum ini memberikan pengajaran berguna untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan yang masih perlu diperbaiki.
Malaysia B-17 sebelum ini merekodkan dua kekalahan ketika berdepan Indonesia sebelum menutup rangkaian aksi persahabatan tersebut dengan kemenangan ke atas Chinese Taipei.
“Dua kekalahan menentang Indonesia dan kemenangan ke atas Chinese Taipei memberikan kami pengajaran berharga serta gambaran lebih jelas mengenai kekuatan dan aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.
Justeru, baki tempoh persiapan akan digunakan sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan yang diketuai Shukor Adan dan pemain untuk memperkemas corak permainan, membina keyakinan serta meningkatkan kerjasama menjelang saingan sebenar.
“Beberapa hari terakhir persiapan ini adalah untuk memperkemas prestasi, membina keyakinan dan bekerjasama sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi aksi pembukaan menentang Palestin dalam Kelayakan Piala Asia B-17 pada Ahad, 8 November,” jelasnya.
Skuad negara dijadualkan membuka kempen Kumpulan E dengan berdepan Palestin sebelum meneruskan cabaran menentang Singapura, Guam dan India dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir.
Ong Kim Swee turut menegaskan bahawa sasaran pasukan adalah untuk memberikan segala-galanya sepanjang kempen kelayakan tersebut bagi merebut tiket ke Piala Asia B-17 2027.
“Cabaran sudah menanti dan objektif kami jelas, iaitu memberikan segala-galanya sepanjang kempen ini serta berjuang untuk melayakkan diri ke Piala Asia B-17 2027,” katanya.
Hanya juara setiap kumpulan daripada tujuh kumpulan kelayakan akan memperoleh tiket secara merit ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Uzbekistan pada Mei 2027.


