Tonton aksi Kuching City vs Tampines Rovers dalam perlawanan pertama KumpulanvA Shopee Cup secara langsung dari Stadium Taha Ariffin.
Kuching City FC bakal melakar sejarah baharu apabila turun menentang Tampines Rovers FC dalam aksi pembukaan Kumpulan A ASEAN Club Championship Shopee Cup 2026/27 di Stadium Negeri, Sarawak pada Rabu.
Perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam itu menjadi penampilan sulung Kuching City dalam kejohanan kelab Asia Tenggara selepas mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah kelab dengan menamatkan saingan Liga Super musim lalu sebagai naib juara.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak hadir dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan prestasi positif dalam saingan domestik sejak awal musim 2026/27.
Kuching City merekodkan kemenangan besar 6-0 ke atas Kuala Lumpur City, diikuti kemenangan 5-0 menentang Kelantan Red Warrior sebelum menewaskan Sabah FC 2-0 dan Melaka FC 2-1 dalam saingan Liga Super.
The Cats turut mara ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Kelantan Red Warrior dengan kemenangan agregat 5-1, namun mereka kemudian terikat tanpa jaringan dengan Kelantan City pada aksi pertama suku akhir.
Barisan serangan Kuching City juga memiliki beberapa nama yang mampu mencetuskan ancaman kepada pertahanan Tampines Rovers termasuk penyerang baharu Dylan Wenzel-Halls yang menyertai pasukan selepas dua musim bersama Penang FC.
Selain Wenzel-Halls, pengalaman pemain seperti Safawi Rasid turut menjadi aset penting buat Kuching City memandangkan pemain sayap itu pernah beraksi di Shopee Cup bersama Terengganu FC dan menjaringkan lima gol pada edisi 2024/25.
Bagaimanapun, cabaran pertama mereka bukan mudah kerana Tampines Rovers hadir sebagai pasukan yang sudah biasa beraksi di pentas serantau termasuk dalam saingan Shopee Cup dan AFC Champions League Two.
Tampines Rovers turut mempunyai pengalaman menentang kelab-kelab terbaik Asia Tenggara selepas berdepan Persib Bandung, Arema FC dan Shanghai Shenhua dalam beberapa aksi kompetitif sebelum kunjungan ke Sarawak.
Pasukan Singapura itu bagaimanapun tewas 1-2 kepada Shanghai Shenhua dalam aksi terakhir mereka pada 17 September lalu selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Balestier Khalsa dalam saingan domestik.
Pertembungan ini dijangka menarik kerana Kuching City mempunyai kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, manakala Tampines Rovers pula mempunyai pengalaman lebih luas dalam pertandingan antarabangsa.
Kuching City pastinya mahu menggunakan kelebihan tersebut untuk mendapatkan tiga mata pertama sekali gus meletakkan asas kukuh dalam usaha memburu tiket ke peringkat kalah mati.
Format Shopee Cup musim ini menyaksikan tujuh pasukan bersaing dalam setiap kumpulan dengan empat pasukan terbaik akan mara ke peringkat suku akhir.
Dengan kumpulan yang turut dihuni juara bertahan Buriram United, Ratchaburi FC, Ho Chi Minh City Police FC, Borneo FC Samarinda dan Manila Digger FC, setiap mata pastinya amat penting buat Kuching City.
Justeru, aksi menentang Tampines Rovers menjadi peluang terbaik buat The Cats membuktikan kemampuan mereka di pentas ASEAN sambil mencipta permulaan positif dalam kempen bersejarah kelab itu.