Kuching City FC bakal turun menghadapi Tampines Rovers dalam aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup tanpa kelibat penjaring terbanyak pasukan itu musim lalu, Ronald Ngah Wanja.
Jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak mengesahkan Ngah tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu kerana mengalami kecederaan.
“Ya, (Ronald Ngah) Wanja mengalami kecederaan. Beliau tidak berada dalam situasi yang baik sekarang ini. Jadi, apa yang saya boleh katakan ialah beliau 100% terkeluar untuk perlawanan esok,” katanya seperti dilaporkan ASEAN United My.
Aidil turut memaklumkan barisan kejurulatihan pasukan itu akan menilai tahap kecergasan dua pemain Harimau Malaya, Haziq Nadzli dan Nazmi Faiz Mansor terlebih dahulu.
Ini kerana kedua-dua pemain itu baru saja selesai menjalani tugasan bersama skuad kebangsaan untuk kempen FIFA ASEAN Cup.
“Saya tahu anda semua risau tentang dua pemain kebangsaan kita. Tapi jangan lupa sehingga sekarang, mereka tidak berlatih bersama kita.
“Mereka baru tiba di Kuala Lumpur, saya fikir dalam tempoh satu atau dua jam. Dan kita akan berlatih pada petang ini, sudah tentu mereka tidak akan menyertai kita pada hari ini.
“Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak akan beraksi pada hari esok. Itu bergantung pada latihan hari ini dan bagaimana kita perlukan khidmat mereka. Dan saya akan putuskan pada hari esok,” tambahnya.
Ajdin Mujagic dan Jerome Mpacko Etame dijangka menjadi sandaran gol Aidil untuk merobek gawang Tampines Rovers. Kuching City dan Tampines Rovers akan berentap pada 7 Oktober ini di Stadium Taha Ariffin.