Transfer

KL City Sedia Selesaikan Tuntutan Bayaran

Kuala Lumpur City FC 1 1 KL City Sedia Selesaikan Tuntutan Bayaran
Kuala Lumpur City FC
Advertisements

Pengurusan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sedia menyelesaikan tuntutan bayaran yang dibuat bekas penyerang import pasukan itu, Patrick Reichelt.

Komitmen itu dizahirkan Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Syed Yazid memaklumkan isu tunggakan membabitkan Reichelt telah diselesaikan pada Ogos lalu. Walau bagaimanapun, disebabkan kelewatan menyelesaikan tunggakan itu, kelab perlu menyelesaikan bayaran bunga terhadap penyerang Filipina itu.

“KL City telah jelaskan (tunggakan) pada 17 Ogos 2026 sebanyak RM101,640 sebelum Liga Super bermula. Isunya sekarang ini ialah tuntutan daripada pihak Patrick Reichelt disebabkan bunga.

“Bunga (dikenakan) sebab bayaran (tunggakan) lambat untuk gaji pada tahun 2024. Jadi, yang itu ialah RM10,400. Yang itu kita akan cuba jelaskan secepat mungkin,” katanya.

Berita ini dilihat memberi kelegaan kepada penyokong KL City. Ini kerana ini bakal membantu pasukan itu bebas daripada sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sekiranya semua berjalan lancar, KL City tidak akan berdepan sebarang isu jika ingin mendaftarkan pemain baharu dalam tetingkap perpindahan Liga Malaysia (Liga M) Januari 2027.