KL City Kembali Dalam Senarai Sekatan FIFA
MakanBola
Kuala Lumpur City FC

Kuala Lumpur City FC (KL City FC) kembali berada dalam senarai pasukan yang dikenakan sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Semakan di pangkalan data sekatan perpindahan FIFA menyaksikan nama pasukan yang diberi jolokan The City Boys itu kembali tersenarai sejak 15 Oktober lalu.

Sekatan itu dikenakan selepas FIFA mendapati KL City masih gagal melangsaikan tunggakan gaji bekas penyerang import pasukan itu dari Filipina, Patrick Reichelt.

Ini berdasarkan surat rasmi bahagian undang-undang badan induk bola sepak antarabangsa itu kepada KL City yang tular di media sosial. Susulan itu, kelab itu tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu sehingga sehingga isu tersebut selesai.

Isu ini dijangka memberi tamparan hebat kepada jurulatih The City Boys, Datuk Dollah Salleh. Ini kerana sekiranya isu sekatan tidak diselesaikan segera, ini akan menyukarkan pasukan itu mendaftarkan pemain baharu dalam tetingkap perpindahan Januari 2027.

Isu sekatan perpindahan FIFA bukan sekali membelenggu KL City. Isu sama menyebabkan kelab itu tidak dapat mendaftarkan pemain baharu untuk permulaan musim 2026/27.

Isu sekatan FIFA kemudiannya selesai apabila Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar membuat pembayaran sebanyak RM1.1 juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji lama pasukan itu.

Hal ini membolehkan kelab Lembah Klang itu mendaftarkan barisan pemain baharu untuk kempen musim ini. Antara pemain yang direkrut pasukan itu ialah Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri dan Gary Steven Robbat.