Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sah bebas daripada sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Perkara ini disahkan pengendali pasukan itu, Datuk Dollah Salleh apabila diminta mengulas tentang perkara itu. Dollah memaklumkan sekatan tersebut sudah ditarik balik sekali gus membenarkan KL City mendaftarkan pemain.
“Yang penting kita dapat berita tentang sekatan perpindahan kita. (Kita) sudah dapat keputusan bahawa kita sudah lepas daripada penggantungan ini.
“Insya Allah pada perlawanan yang akan datang, kita tidak boleh buat sebagai satu alasan lagi,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan pasukan itu dan Kuching City FC.
Semakan di pangkalan data sekatan perpindahan FIFA turut menunjukkan nama KL City tidak lagi tersenarai dalam senarai kelab yang dikenakan sekatan badan induk itu.
Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar membuat pembayaran sebanyak RM1.1 juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji lama pasukan itu.
“Presiden KLFA Syed Yazid Syed Omar ‘selamatkan’ KL City dengan pembayaran RM1.1 juta untuk selesaikan tunggakan gaji lama, membolehkan mereka bebas daripada sekatan perpindahan FIFA sekalipun kelewatan menyebabkan The City Boys kekurangan pemain dalam dua perlawanan pertama musim ini,” katanya di X.
Berita ini bakal membolehkan KL City mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi kempen musim 2026/27. The City Boys telah mendapatkan lapan pemain setakat ini.
Antaranya penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri, Gary Steven Robbat dan Ibrahim Manusi yang tiba secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
KL City juga dilaporkan dalam proses mendapatkan bek tengah Ghana, Joseph Adjei dan penyerang muda Nigeria, Yusuf Tunji Omotosho.