Penyerang Malaysia, Syafiq Ahmad akhirnya menemui destinasi untuk mengharungi saingan liga baharu selepas meninggalkan Brunei DPMM apabila menyertai KL City pada Rabu.
Perpindahan Syafiq ke KL City telah diumumkan pihak kelab melalui satu kenyataan yang disiarkan di semua laman sosial rasmi pasukan.
“Syafiq Ahmad kini menjadi sebahagian daripada City Boys. Kami berbesar hati mengumumkan Syafiq Ahmad sebagai pemain baharu kami bagi musim 2026/2027,” kata KL City dalam satu kenyataan di laman media sosial milik kelab.
Bekas pemain Kedah & JDT itu dijangka bakal merebut tempat di bahagian serangan KL City dengan seorang lagi pemain berpengalaman dan baharu The City Boys iaitu Hazwan Bakri.
Nama Syafiq Ahmad di pentas Liga Malaysia sememangnya tidak asing lagi. Penyerang kelahiran Sungai Ara itu telah memenangi gelaran Liga Super (6×), Piala FA (2×), Piala Sumbangsih (1×) dan Piala Malaysia (3×) sepanjang bersama Harimau Selatan.
Beliau turut memenangi satu Piala FA musim 2017 ketika bersama Kedah apabila menewaskan Pahang 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
Setakat musim lalu, beliau telah membuat 125 penampilan, menjaringkan 26 gol serta merekodkan 13 bantuan jaringan dalam semua pertandingan sepanjang bersama 3 kelab iaitu Kedah, JDT dan Brunei DPMM.