Bekas penyerang DPMM FC, Syafiq Ahmad antara calon berpotensi memikul tugas sebagai kapten Harimau Malaya untuk kempen ASEAN Hyundai Cup 2026.
Pandangan ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam apabila ditanya siapa pemain yang akan memikul tugas sebagai kapten dalam kejohanan kali ini.
Skuad kali ini menyaksikan jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil beberapa pemain senior. Antaranya Syafiq, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan, Paulo Josue, Sergio Aguero dan Endrick do Santos.
Meskipun begitu, Zulhelmi melihat bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memiliki kelebihan kerana sudah biasa dengan taktikal permainan yang diterapkan Cheng Hoe dan berstatus pemain berpengalaman.
“Tapi berdasarkan pengamatan saya, dua pemain yang pernah berada di bawah bimbingan Coach Tan ialah Syafiq Ahmad dan Mohamadou Sumareh. Pasukan ini turut dibarisi pemain-pemain senior lain seperti Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Sergio Aguero yang juga pemain naturalisasi negara.
“Ini calon yang saya jangkakan akan menjadi kapten skuad negara. Tetapi saya melihat Syafiq Ahmad yang memakai kasut bola berwarna merah jambu itu adalah calon terbaik untuk menggalas tugas sebagai kapten.
“Ini kerana beliau sudah biasa dengan Coach Tan tetapi juga pemain senior untuk pasukan ini walaupun sudah lama tidak mendapat panggilan skuad kebangsaan,” katanya kepada Nadi Arena.
Kali terakhir Syafiq dipanggil menyertai kem Harimau Malaya ialah penghujung tahun 2024. Beliau menjadi sebahagian daripada skuad negara yang beraksi dalam ASEAN Championship 2024.