Selepas 17 bulan membimbing skuad wanita Malaysia, Joel Cornelli mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan itu.
Hal ini dinyatakan beliau dalam satu hantaran di Instagram. Sepanjang tempoh tersebut, beliau cukup bangga kerana dapat membantu proses memperbaharui pasukan dan membawa masuk muka-muka baru buat Malayan Tigress.
“Sepanjang tempoh itu, kami bekerja dengan penuh dedikasi dan komitmen, sambil memulakan proses pembaharuan skuad yang penting dengan ketibaan pemain-pemain baharu. Ini sekali gus membina asas bagi pembangunan pasukan pada masa hadapan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, barisan kejurulatihan dan sesiapa sahaja yang telah berkongsi perjalanan ini bersama saya.
“Saya beredar dengan membawa pengalaman yang berharga, kenangan yang kekal abadi dan kepuasan kerana telah memberikan yang terbaik dengan penuh profesionalisme, rasa hormat, dan semangat mendalam terhadap sukan ini,” katanya.
Antara pemain negara yang mengucapkan selamat berjaya kepada jurulatih Brazil itu ialah penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan. Tempat Cornelli kini diisi legenda Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.
Meskipun tidak mendedahkan destinasinya selepas ini, satu pasukan yang dicanang sebagai destinasi baharu Cornelli ialah kelab Indonesia, Arema. Ini susulan prestasi buruk pasukan itu dalam liga musim ini.
Justeru, ramai penyokong Arema berharap Cornelli dapat kembali sebagai pengganti rakan senegara, Marcos Santos.


