Bekas jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC) Extension, Nidzam Adzha Yusof kini memikul tugas sebagai jurulatih Malayan Tigress.
Pelantikan beliau sebagai jurulatih skuad wanita negara diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin. Pengumuman ini menyaksikan Nidzam Adzha menggantikan jurulatih sebelumnya, Joel Cornelli.
Ini kali pertama legenda Kedah itu diberi amanah mengemudi skuad negara. Sebelum ini, beliau banyak memikul tugas sebagai jurulatih atau staf kejurulatihan beberapa pasukan.
Antaranya Manjung City FC, Kedah, Kuala Muda Naza, KL City Extension, Melaka United, Felda United, Perlis dan Sime Darby FC. Nidzam Adzha juga pernah memikul tugas sebagai Pengarah Teknikal KL City.
Pengalaman legenda Harimau Malaya itu dijangka ditagih untuk membimbing Malayan Tigress mengharungi dua aksi persahabatan Tier 1 di Qatar.
Skuad wanita negara bakal bertemu Arab Saudi dalam dua aksi persahabatan antarabangsa di Qatar pada 9 dan 13 Oktober ini. Antara pemain yang dipanggil dalam kem kali ini ialah pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (US), Aryssa Da’im Mahrt.