Tahun 2026 menjadi saksi prestasi luar biasa yang ditampilkan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Ini terbukti berdasarkan statistik yang dikongsikan BolaKita. Selepas mengharungi 12 perlawanan, Malaysia memenangi tujuh aksi dengan kadar sebanyak 58.3%.
Peratusan itu mencerminkan prestasi baik dan konsisten skuad negara. Hal ini turut disokong dengan kedudukan ranking semasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kedudukan semasa ranking FIFA menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-133 berbanding 136 pada Julai lalu. Lebih menarik, Harimau Malaya mengatasi Kuwait dan negara serantau Filipina yang masing-masing menduduki tangga ke-134 dan 135.
Jentera serangan Malaysia juga kelihatan tajam dengan 20 gol. Antara kemenangan yang mencuri perhatian penyokong ialah kemenangan besar 6-0 ke atas Singapura dan pesta gol ke atas Laos.
Harimau Malaya juga memiliki benteng kental apabila hanya dibolosi 11 gol dalam 12 perlawanan. Selain itu, Malaysia juga tidak dibolosi dalam enam perlawanan – empat daripadanya dalam kempen FIFA ASEAN Cup.
Enam aksi di tempat sendiri menyaksikan skuad negara meraih empat kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. Malaysia turut menyumbat 12 gol dan hanya dibolosi sekali.
Hal ini memperlihatkan kepentingan penyokong dalam memacu semangat Harimau Malaya. Aksi menentang negara serantau pula menyaksikan beberapa keputusan menarik dicapai.
Antara keputusan menarik membabitkan negara serantau ialah Malaysia menewaskan Vietnam 1-0. Skuad negara juga ceria mengatasi Filipina 1-0 sekaligus layak ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup.
Kesemua statistik ini dilihat memberi keyakinan kepada Malaysia untuk bersedia menghadapi tahun 2027. Ini termasuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2030.


