Penantian hampir dua dekad untuk merasai aksi di peringkat antarabangsa senior akhirnya semakin hampir ke penghujung buat tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry.
Selepas pernah menyarung jersi hijau Ireland di peringkat remaja dan berkali-kali dipanggil ke skuad kebangsaan tanpa sekali pun diturunkan beraksi, tonggai berpengalaman Liga Super kini berpeluang menulis bab baharu dalam kariernya bersama Harimau Malaya.
Peluang itu terbuka selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) meluluskan permohonan pertukaran persatuan seorang lagi pemain naturalisasi Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lalu. Kelulusan itu datang ketika proses naturalisasi skuad kebangsaan diteliti dengan rapi. Bezanya, laluan kali ini dibina menerusi syarat bermastautin, iaitu lebih lima tahun beraksi dan menetap di negara ini.
Pemain itu ialah Shane Lowry, pertahanan tengah berusia 37 tahun yang menyertai JDT pada 2021. Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, sebelum ini mengesahkan semua dokumen beliau telah lengkap dan dihantar kepada FIFA. Lowry kini menyertai dua rakan sepasukan di JDT, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo, sebagai pemain naturalisasi terbaharu Malaysia.
Tonggak kelahiran Perth, Australia itu memulakan perjalanan antarabangsanya bersama skuad bawah 17 tahun dan bawah 21 tahun Republik Ireland. Namun begitu, apabila tiba di peringkat senior, beliau memilih untuk mewakili negara kelahirannya.
Beliau dipanggil skuad Socceroos pada 2009 untuk aksi menentang Belanda dan Oman, tetapi tidak diturunkan. Beliau juga tersenarai dalam skuad awal Australia untuk Piala Dunia 2010, namun gagal menembusi senarai akhir 23 pemain.
Kariernya di peringkat kelab jauh lebih menyinar terang. Bekas pemain Aston Villa itu menyertai akademi kelab berkenaan pada 2005 dan sempat beraksi dalam dua perlawanan Liga Europa. Beliau kemudian dipinjamkan ke Plymouth Argyle, Leeds United, Sheffield United dan Millwall, sebelum menyertai Millwall secara tetap pada 2012. Selepas itu, beliau bermain untuk Leyton Orient dan Birmingham City.
Selepas 11 tahun di England, pertahanan kaki kidal itu pulang ke Perth Glory pada Januari 2016 dan bermain lebih 70 perlawanan liga. Beliau kemudian berhijrah ke Al Ahli di Qatar pada 2019, sebelum tiba di Johor dua tahun kemudian. Di sini, beliau menjadi sebahagian daripada era dominasi Skuad Harimau Selatan dan memenangi pelbagai trofi, termasuk beberapa kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia.
Kehadiran beliau juga sudah pasti sesuai dengan rekod pertahanan skuad kebangsaan yang ampuh, selepas Malaysia menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga tanpa tewas di bawah bimbingan jurulatih interim, Tan Cheng Hoe.
Debut bekas tonggak Perth Glory itu bagaimanapun tidak akan berlaku tahun ini selepas beliau tidak disenaraikan untuk jelajah November ke China, termasuk aksi menentang Yemen yang menjadi perlawanan terakhir Harimau Malaya pada 2026.
Persoalannya kini, adakah pemain yang pernah terlepas Piala Dunia 2010 itu akhirnya akan menikmati debut antarabangsa yang dinantikan sejak 2009? Usia beliau semakin meningkat, tetapi pengalaman dan kepimpinannya mampu menjadi aset berharga untuk benteng muda negara.


