Teka-Teki Jurulatih Malaysia B-23, Ini Jawapan FAM
MakanBola
Malaysia National Team
Advertisements AnS

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat berahsia berhubung calon jurulatih baharu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).

Sebelum ini, jawatan tersebut dipikul Nafuzi Zain selama dua tahun. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya mengundur diri pada Jun lalu untuk kembali bersama pasukan Pantai Timur, Terengganu FC.

Sejak itu, kerusi panas jurulatih pasukan itu kosong. Apabila ditanya tentang status jurulatih baharu skuad Malaysia B-23, Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan memaklumkan perkara itu masih belum dimuktamadkan.

Ab Ghani memaklumkan badan induk itu ingin mengenal pasti calon sesuai lebih-lebih lagi dengan Malaysia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Belum lagi dan itu kita akan buat sekali. Saya ada borak dengan Datuk Ong Kim Swee, ketua NFDP tentang beberapa perkara termasuk B-23, untuk katakan kena bersedia dan menghadapi Sukan SEA.

“Lepas itu Malaysia B-20 yang layak ke Piala Asia, kena bersedia. Itu pun sudah ada jurulatih iaitu Khalid Shahdan. Kita sebagai tuan rumah pada tahun ini, kita mesti kena dapatkan keputusan terbaik.

“Kalau kita pergi tempat orang pun kita nak main, maka di sini kita berharap dapat pingat emas Insya Allah. Jadi, terpulang kepada sikap dan keupayaan pemain sedia ada nanti yang dipilih jurulatih,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Antara pencapaian terbaik skuad Malaysia B-23 di bawah bimbingan Nafuzi ialah pingat gangsa Sukan SEA edisi 2025. Kali terakhir Malaysia B-23 meraih pingat emas ialah edisi 2011 di Indonesia.