Piala FA

SSI Venue Terbaik Final Piala FA

Stadium Sultan Ibrahim JDT JST SSI Venue Terbaik Final Piala FA
Johor Southern Tigers
Advertisements

Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dilihat lokasi terbaik sebagai tuan rumah perlawanan final Piala FA 2026.

Pandangan itu dilontarkan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim apabila diminta mengulas pemilihan stadium berkenaan.

Zulakbal berpandangan pemilihan stadium tersebut dijangka tidak menimbulkan isu berat sebelah atau tidak. Ini kerana yang penting ialah memastikan kejohanan berlangsung dalam suasana terbaik.

“Ya, bagi saya tiada masalah pun, aksi final boleh dijalankan di SSI dan saya tidak nampak sebarang isu atau perkara yang boleh mendatangkan bias.”

“Jika kita tengok sejarah sebelum ini, Stadium Shah Alam juga pernah menjadi venue perlawanan akhir Piala FA ketika Selangor sendiri beraksi dalam perebutan kejuaraan pada edisi 2005 dan 2008.

“Jadi, saya tidak fikir pemilihan SSI sebagai venue final kali ini perlu dijadikan isu kerana kita pernah menyaksikan situasi sama apabila pasukan tuan rumah atau pasukan yang beraksi di stadium berkenaan turut mara ke pentas final,” katanya seperti dilaporkan BolaKita.

Zulakbal juga percaya mana-mana pemain sudah pasti teruja beraksi di SSI. Ini kerana stadium itu cukup dikenali dari segi kualiti kemudahan termasuk permukaan padang.

Atas sebab itu, Zulakbal melihat suasana aksi final sebagai pembakar semangat buat mana-mana pasukan untuk beraksi cemerlang dan menjulang trofi kejuaraan.

“Saya percaya mana-mana pemain pun rasa tetap bersemangat untuk bermain di pentas final tidak kira di venue mana sekalipun.

“Jika seseorang pemain itu benar-benar mempunyai semangat juang, dia pasti menyukai cabaran, suasana dan semangat untuk beraksi dalam perlawanan akhir di stadium berkenaan.

“Apatah lagi penganjur pastinya mahukan kelancaran dalam semua aspek sepanjang perlawanan akhir itu dan SSI merupakan sebuah stadium bola sepak yang berkualiti,” tambahnya.

Terdahulu, SSI dipilih sebagai venue final Piala FA. Keputusan itu diumumkan Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini.