Kejayaan Malaysia & Fergus Tierney Jadi Bualan Eropah
MakanBola
Malaysia National Team

Nama Malaysia dan penyerang berdarah Scotland, Fergus Tierney menjadi bualan di Eropah terutama di Cyprus.

Nama penyerang PAC Omonia 29M itu menjadi sebutan portal Goal Cyprus apabila membantu Harimau Malaya meraih tempat ketiga FIFA ASEAN Cup. Berita sama turut dikongsikan Harimau Abroad.

Lebih manis, gol Tierney pada separuh masa kedua memastikan Malaysia menamatkan kemarau kemenangan ke atas lawan mereka, Vietnam sejak tahun 2014.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menamatkan penantian gol keduanya bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Kali terakhir Tierney meledakkan gol untuk Malaysia ialah aksi menentang Kemboja dalam kempen peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024.

Beliau kini sudah merekodkan enam penampilan dan dua gol buat Harimau Malaya. Impak Tierney sebagai peledak mula kelihatan selepas berhijrah ke Cyprus pada musim panas lalu.

Hal ini disedari seorang penyokong Vietnam selepas menilai aksi beliau sepanjang perlawanan itu. Penyokong itu menganggap Tierney jauh berbeza berbanding semasa beraksi buat Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) di Sukan SEA beberapa tahun sebelumnya.