Seorang penyokong Vietnam mengakui terkejut melihat impak penyerang kebangsaan, Fergus Tierney ketika menentang juara ASEAN Hyundai Cup itu untuk penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup.
Hal ini dizahirkan seorang peminat bernama Tdtung_157 apabila mengulas aksi antara Harimau Malaya dan Naga Emas di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) pada 5 Oktober lalu.
Dia merasa terkejut melihat Tierney bukan saja berjaya melepasi kawalan pemain Vietnam. Malah, bekas penyerang Sabah FC itu berupaya melepaskan rembatan yang mengelirukan penjaga gol Naga Emas, Patrik Le Giang.
Tdtung_157 tidak menyangka Tierney memiliki kualiti menggegar gawang Vietnam selepas melihat kelibatnya beraksi bersama Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) di pentas Sukan SEA.
“Saya tak ingat lelaki berambut perang ini (Fergus Tierney) cukup bagus semasa di Sukan SEA,” katanya di X.
Seorang peminat Malaysia bernama MiMestalla memaklumkan perkara ini terjadi selepas Tierney menyertai kelab Cyprus, PAC Omonia 29M. Tdtung_157 menyifatkan perpindahan tersebut memberi manfaat besar kepada penyerang berdarah Scotland itu.
“Itu sebenarnya sesuatu yang bagus. Lihat pemain-pemain kita, tiada satu pun yang mahu keluar dari zon selesa. Kita telah mencapai tahap maksimum,” tambahnya.
Gol tunggal Tierney dalam perlawanan itu memastikan Malaysia bukan saja meraih tempat ketiga FIFA ASEAN Cup. Malah, gol itu memastikan Malaysia mengakhiri kemarau kemenangan ke atas Vietnam sejak tahun 2014.