Piala FA

Piala FA: “Jangan Lepaskan Peluang Ke Final” – Kim Pan-gon

Pan gon Selangor FC 8 Piala FA: “Jangan Lepaskan Peluang Ke Final” - Kim Pan-gon
Selangor FC
Advertisements

Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon menegaskan pasukannya tidak mahu melepaskan peluang untuk mara ke final Piala FA 2026/2027 selepas menewaskan Kuching City 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ pada Jumaat.

Kemenangan itu menyaksikan Gergasi Merah membawa bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik di tempat lawan, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan untuk memburu tiket ke pentas final.

Bercakap dalam sesi temu bual tepi padang selepas perlawanan, Pan-gon mengakui Selangor layak meraih kemenangan berdasarkan kerja keras dan semangat juang yang ditampilkan anak buahnya.

“Saya rasa kami memang layak untuk menang. Pemain kami bekerja lebih keras berbanding mereka dan semangat juang kami juga lebih tinggi daripada pasukan lawan,” katanya ketika ditemu bual sejurus tamat aksi.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut meluahkan rasa bangga terhadap komitmen seluruh pemain Selangor yang berjuang untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan tersebut.

Pan-gon turut menghargai kehadiran penyokong Red Giants yang memberikan sokongan sepanjang perlawanan, sambil menyifatkan kemenangan itu sebagai satu detik bermakna buat pasukan untuk menunjukkan kesatuan mereka.

Dalam aksi tersebut, Eduardo Sosa muncul watak penting apabila meledak kedua-dua gol Selangor untuk membantu pasukannya mengatasi cabaran Kuching City.

Pan-gon memuji sumbangan Sosa dan berharap penyerang itu dapat terus memberikan impak lebih besar kepada pasukan selepas mempamerkan prestasi yang membanggakan.

“Saya sangat bangga dengannya. Saya rasa dia sangat membantu pasukan dan saya berharap dia dapat terus menyumbang lebih banyak kepada pasukan,” katanya.

Bagaimanapun, Pan-gon sedar tugas Selangor masih belum selesai memandangkan mereka perlu mengharungi baki 90 minit di gelanggang lawan untuk menentukan pasukan yang layak ke final.

Beliau mengakui aksi di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah, justeru Selangor perlu membuat persiapan rapi bagi memastikan kelebihan yang dimiliki dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kami tidak boleh melepaskan peluang seperti ini. Kami akan merebut peluang ini untuk mara ke final,” tegasnya.