Piala FA

Piala FA: JDT Bawa Bekalan Selesa, Tewaskan DPMM

Web 20261023 215419 0000 Piala FA: JDT Bawa Bekalan Selesa, Tewaskan DPMM
Johor Southern Tigers
Advertisements

Johor Darul Ta’zim (JDT) selangkah lebih hampir ke final Piala FA apabila menundukkan DPMM FC 2-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada Jumaat malam.

JDT mahu meneruskan momentum tanpa kalah dengan memburu kemenangan di laman lawan selepas menewaskan Terengganu FC 3-0, sementara DPMM FC bertekad meneruskan kejutan selepas menundukkan Kuching United 3-2 dalam aksi Liga Super sebelum ini.

Ketua jurulatih JDT, Xisco Muñoz, membuat keputusan untuk merehatkan bintang utama, Arif Aiman Mohd Hanapi, sambil menurunkan Dani Bolt buat kali kedua bersama skuad Harimau Selatan, dengan pemain itu mengisi posisi pertahanan kiri.

Sementara itu, kesebelasan utama DPMM FC turut mencuri tumpuan apabila ketua jurulatih, Jamie McAllister, mempertaruhkan Danial Asri dan Samuel Somerville dalam barisan permulaan bagi pertembungan tersebut.

JDT menguasai permainan dengan ketara sebelum memecah kebuntuan pada minit ke-21 menerusi penyerang natiralisasi kebangsaan, Bergson da Silva yang pantas menghidu peluang susulan kealpaan barisan pertahanan DPMM FC untuk menewaskan penjaga gol lawan.

JDT membawa kelebihan 1-0 ke bilik persalinan apabila keputusan itu kekal sehingga tamat babak pertama di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Memasuki babak kedua, JDT memasukkan Arif Aiman dan Jairo da Silva dalam usaha menambah jaringan, sementara DPMM FC berusaha mencari peluang untuk mengikat kedudukan.

JDT terus mengukuhkan kedudukan apabila Eddy Israfilov menanduk masuk hantaran Jairo da Silva daripada sepakan sudut pada minit ke-71 untuk meletakkan Harimau Selatan selesa mendahului 2-0.

Tamat aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah dengan JDT membawa bekalan 2 gol ke Stadium Sultan Ibrahim pada pertemuan kedua yang berjadual pada 8 November.

Menanti selepas pertembungan ini, JDT bakal beraksi menentang Port FC dalam saingan ACLE pada 27 Oktober, sementara DPMM FC akan membuat persiapan untuk menghadapi Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super pada 30 Oktober.