Aksi Bangladesh vs Malaysia bakal dihangatkan dengan kehadiran 5 tonggak tumpuan dalam perlawanan pertama FIFA ASEAN Cup pada Jumaat.
Malaysia turun bertemu Bangladesh dalam perlawanan pertama Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 pada Jumaat, dengan membawa misi mustahak demi meraih 3 mata bagi memudahkan perjalanan skuad negara ke pusingan seterusnya.
Hasrat sama turut dizahirkan kem Bangladesh yang pastinya mahu melakar kejutan ke atas pasukan Harimau Malaya walaupun mereka sedar kelebihan ranking ternyata memihak skuad negara selain rekod pertemuan dalam aksi lalu.
Di sebalik kehangatan pertembungan ini, kelibat 5 pemain Malaysia dan Bangladesh dijangka bakal memberi impak besar buat kedua-dua negara sekali gus menambah intensiti perlawanan dan menarik minat penyokong.
1- Bergson Da Silva
Kehadiran pemain naturalisasi baharu Harimau Malaya ini dinanti-nantikan para penyokong bola sepak tempatan bagi melihat sendiri impak yang akan dibawa oleh Bergson kepada pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa ini.
Dengan statistik 7 gol dalam 7 perlawanan musim ini, khidmat Bergson Da Silva sudah pasti diharapkan memberi kesan kepada jentera serangan, yang turut dibantu oleh rakan sepasukan seperti Arif Aiman dan Faisal Halim di barisan hadapan.
2- Dion Cools
Barisan pertahanan negara akan kembali diperkuat dengan kehadiran Dion Cools selepas tonggak Cerezo Osaka ini tidak dipanggil semasa kejohanan ASEAN Hyundai Cup lalu sekali gus menjadi tonik tambahan buat pasukan negara.
Kepimpinan Dion Cools amat penting dalam memastikan pemain tenang mengekang serangan dari pihak lawan selain bintang kacukan Malaysia-Belgium ini mampu memberi sumbangan gol terutama ketika situasi bola mati.
3- Brad Tapp
Seorang lagi tonggak baharu di kem negara, Brad Tapp menjadi sebutan ramai untuk diturunkan dalam pertemuan ini, melihat kepada kelebihan fizikal dan pengalamannya di Liga Australia yang mampu dimanfaatkan Harimau Malaya.
Brad Tapp memiliki keupayaan untuk beraksi di beberapa posisi termasuk pertahanan dan pemain tengah bertahan, sekali gus memberi lebih banyak pilihan buat Tan Cheng Hoe dalam merangka strategi terbaik untuk skuad negara.
4- Hamza Choudhury
Nama yang tidak asing lagi di kem Bangladesh serta peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) memandangkan Hamza Choudhury ini miliki pengalaman hebat beraksi bersama kelab ternama di England seperti Leicester City dan Watford.
Pengalaman dan teknik yang dimiliki tonggak berusia 29 tahun ini perlu diberi perhatian oleh pasukan Harimau Malaya untuk memastikan setiap serangan yang cuba dilakukan pemain tengah Sheffield United ini dapat disekat lebih awal.
5- Farhaan Ali Wahid
Pemain kelahiran London ini antara nama yang dicanang sebagai bintang muda dalam pembikinan oleh penyokong Bangladesh, selepas permainan lincah Farhaan Ali ini beberapa kali tular ketika beraksi bersama Fulham B-21 sebelum ini.
Kelincahan serta kepantasan pastinya menjadi senjata utama Farhaan Ali dalam usaha mengucar-kacirkan pertahanan lawan, mengambil kira rekod 12 jaringan dan 9 ‘assists’ yang dilakukannya musim lalu di pentas Premier League 2.
Perlawanan Bangladesh vs Malaysia bakal berlangsung pada Jumaat, 25 September dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 5 petang dan dapat disaksikan secara langsung di siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).