Pahang Rangers bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Selangor FC dalam aksi final pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026.
Selangor memiliki kelebihan kerana pernah menewaskan Pahang Rangers dua kali dalam kempen liga. Meskipun begitu, Pahang Rangers memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Babak pertama di Stadium Tertutup SUKPA menyaksikan Selangor terlebih dahulu di hadapan menerusi Evandro Borges pada minit ketujuh.
Pahang Rangers kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Razin Rahim empat minit selepas itu.
Perlawanan kemudiannya ditangguhkan selama lebih sejam akibat hujan lebat di Stadium Tertutup SUKPA. Hujan lebat mengakibatkan bumbung stadium bocor.
Penangguhan perlawanan dilihat tidak menghalang kedua-dua pasukan mencari gol tambahan sebaik perlawanan disambung. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, penyokong Pahang Rangers ceria apabila mendahului pada minit ke-24. Rodrigo da Silva mencetak nama sebagai penjaring.
Selangor makin derita apabila Syarifuddin Akhir menambah gol ketiga tuan rumah dua minit selepas itu.
Strategi power play yang cuba digunakan pelawat memakan diri apabila Felipe de Souza menolak bola ke dalam gawang kosong pada minit ke-33.
Selangor mengurangkan defisit menerusi jaringan Marlon Oliveira dan Borges. Keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan.
Pahang Rangers kini hanya perlu menang atau seri dalam aksi timbal balik pada 31 Oktober ini untuk muncul juara MPFL 2026.


