Selangor FC bangkit dari ketinggalan sebelum membelasah Pahang Rangers FC dalam aksi terbaru Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2026.
Aksi ini dilihat peluang buat Selangor melebarkan kelebihan mata selaku pendahulu MPFL. Pahang Rangers pula mahu membalas dendam selepas tewas kepada lawan sama pada Jun lalu.
Marlon Oliveira dan Felipe de Souza masing-masing menjadi taruhan Selangor dan Pahang Rangers di bahagian serangan. Ini kerana de Souza dan Oliveira masing-masing bersaing memburu gelaran penjaring terbanyak dengan 19 dan 18 gol.
Pahang Rangers terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penjaring terbanyak mereka itu pada minit kesembilan. De Souza pantas menolak bola hantaran jauh yang menewaskan Syaifuddin Syukri.
Tersentak, Selangor kembali mengatur rentak dan mengasak untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Oliveira memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-18.
Bersambung selepas rehat, Selangor terus menggandakan asakan untuk memburu gol tambahan. Oliveira menceriakan penyokong Merah Kuning dengan gol ke-20 beliau musim ini.
Pahang Rangers kemudiannya terpaksa beraksi dengan empat pemain apabila penjaga gol, Mohd Afiq Abdul Rahman dilayangkan kad merah. Keputusan itu dibuat pengadil selepas Afiq berlanggar dengan pemain Selangor, Nazreen Saudi.
Perlawanan dihentikan selama beberapa minit bagi membolehkan pasukan perubatan memberi rawatan kepada beliau. Nazreen kemudiannya diusung keluar sebelum perlawanan diteruskan.
Evandro Borges menggandakan kelebihan Selangor dengan gol ketiga. Ini disusuli hatrik Oliveira yang diraih pada minit ke-32.
Kapten Selangor, Khairul Effendy Mohd Bahrin memastikan malam gemilang tuan rumah dengan gol kelima pada minit ke-27. Sirhan Aiman Saipubahrim memastikan keputusan 5-2 sebagai keputusan akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor kekal sebagai pendahulu liga dengan 30 mata, lapan mata di hadapan Pahang Rangers yang menduduki tempat ketiga.
Selepas ini, Selangor akan menentang Wipers FC pada 19 Julai. Pahang Rangers pula akan berdepan Terengganu pada hari yang sama.