Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Malaysia Premier Futsal League (MPFL) selepas berjaya menumpaskan Pahang Rangers dalam perlawanan sirkit ke-4 di Kuantan pada Sabtu.
Masih segar dengan kejayaan menewaskan JDT pada minggu lalu, Selangor turun membawa misi penting ke Kuantan dan berjaya mengutip 3 mata hasil kemenangan besar 5-3 ke atas Pahang Rangers di hadapan penyokong pihak lawan.
Gandingan Syahir Iqbal dan Marlon Oliveira menjadi taruhan Selangor bagi mendapat jaringan sementara Pahang Rangers yang diketuai Akmarulnizam menurunkan duo penyerang import berbisa, Felipe Souza serta Rodrigo Da Silva.
Gol pertama Selangor berjaya dijaringkan oleh bintang kebangsaan, Syahir Iqbal Khan yang melepaskan rembatan deras seawal minit ke-4 permainan sebelum Marlon Oliveira meledak jaringan kedua selang dua minit selepas itu.
Syahir Iqbal membuktikan ketajaman beliau dengan jaringan kedua peribadi pada minit ke-12 menerusi percubaan deras yang terus menewaskan penjaga gol Pahang Rangers, Afiq Abdul Rahman untuk kedudukan semasa 3-0 buat pelawat.
Enggan mengalah, Pahang Rangers berjaya merapatkan kedudukan sebelum rehat ketika seorang lagi pemain kebangsaan, Harith Na’im melepaskan satu rembatan kencang yang menerjah masuk ke dalam gawang pasukan Gergasi Merah.
Babak kedua bermula positif buat Selangor apabila berhasil menambah dua lagi gol menerusi semtuhan kemas oleh Evandro Borges dan Nazreen Saudi sekali gus menambah tekanan buat Pahang Rangers dengan aksi berbaki 15 minit.
Ketinggalan 4 gol, Pahang Rangers berjaya mengejar dengan dua jaringan di penghujung aksi hasil ledakan Syarifuddin dan Felipe Souza namun itu tidak mencukupi buat tuan rumah bagi mengikat kedudukan di akhir aksi.
Aksi di Stadium Tertutup Sukpa, Kuang berakhir dengan kemenangan 5-3 buat Selangor.