MPFL: Selangor Atasi Tentangan JDT
UltraSukan
MPFL

Selangor FC merampas semula tampuk pendahulu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2026 apabila menewaskan juara liga musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Anak buah Edgar Baldasso tahu mereka perlu menang jika ingin mengekalkan rekod 100% dalam liga dan kembali menerajui liga. JDT pula mahu merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas liga, Selangor dan Pahang Rangers FC.

Bintang Brazil, Marlon Oliveira menjadi sandaran gol Selangor. Bruno Taffy dan Andres Prieto menjadi pilihan jurulatih JDT, Joao Almeida.

Selangor menggegar gawang JDT yang dikawal Zainulzahin Sinuan menerusi gol awal Oliveira dan Evandro Borges. Tatkala Selangor selesa mendahului, JDT merapatkan jurang pada minit keempat.

Pemain kebangsaan, Awalludin Mat Nawi tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Selangor, Syawal Sabarudin.

Tatkala JDT berusaha mencari gol penyamaan, Borges memastikan Selangor mendahului 3-1 sehingga rehat separuh masa menerusi rembatan deras pada minit ke-20.

Bersambung selepas rehat, JDT mula meningkatkan asakan untuk memburu jaringan penyamaan. Hasilnya, Mahadir Harahap Khairuddin menyumbat gol kedua pelawat tidak lama selepas perlawanan bersambung.

Selepas menerima hantaran Awalludin, Mahadir melambungkan bola ke dalam gawang Selangor. Pemain-pemain Selangor mendakwa bola tidak melepasi garisan tetapi gol tersebut dikira oleh pengadil.

Borges kemudiannya mencipta hatrik dengan menyempurnakan hantaran kapten, Khairul Effendy Mohd Bahrin pada minit ke-29.

Perlawanan semakin hangat apabila Taffy menjaringkan gol ketiga JDT pada minit ke-33. Pemain Brazil itu melepaskan rembatan deras tepat ke arah penjuru kiri gawang Selangor.

Pemain kebangsaan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan memulihkan kembali kelebihan dua gol Selangor dengan menyudahkan hantaran Oliveira.

JDT menggunakan baki enam minit permainan untuk mengurangkan defisit menerusi taktik power play. Meskipun begitu, Selangor terus mengintai peluang mencari gol tambahan.

Anak buah Baldasso mempertahankan keputusan 5-3 sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor memintas semula Pahang Rangers sebagai pendahulu liga dengan 18 mata.

Selepas ini, Selangor akan berentap dengan Pahang Rangers pada 20 Jun. JDT pula akan berentap dengan ATM pada 21 Jun.