Asia

AFC Hukum Buriram United

JDT Buriram United AFC Hukum Buriram United
Johor Southern Tigers
Advertisements

Giliran jaguh Thailand, Buriram United menerima hukuman daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kelewatan hanya dua minit di bilik persalinan akhirnya membawa padah besar apabila Buriram United bersama ketua jurulatihnya dikenakan tindakan oleh badan induk bola sepak Asia itu.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC pada 5 November 2026. Kes berkenaan berpunca daripada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite 2026/27 peringkat liga yang berlangsung pada 15 September lalu, apabila permulaan separuh masa kedua perlawanan tertangguh selama dua minit.

Dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, Buriram United didapati bersalah kerana wakil pasukan mereka menyebabkan kelewatan tersebut, melanggar peraturan Kiraan Detik Rasmi di bawah Artikel 15 Manual Operasi Pertandingan AFC.

Wakil Thailand itu diarahkan membayar denda sebanyak USD2,250 atau kira-kira RM9,128 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 15.2 manual yang sama. Lebih membimbangkan, ini merupakan kesalahan ketiga kelab tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.

Hukuman tidak terhenti di situ apabila ketua jurulatih mereka, Mario Fernando Magalhaes Da Silva, turut dikenakan tindakan berasingan atas insiden yang sama.
Jurulatih berasal dari Portugal itu didapati gagal memastikan pemain-pemainnya menyelesaikan persiapan dan keluar dari bilik persalinan mengikut kiraan detik rasmi, lantas menyebabkan separuh masa kedua lewat bermula dua minit.

Atas kegagalan tersebut, beliau diarahkan membayar denda USD1,500 (RM6,086) kerana melanggar Artikel 11.2 Pekeliling Tatatertib AFC bagi ACL Elite 2026/27, dibaca bersama Artikel 15.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.

Kedua-dua denda itu perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.

Secara keseluruhan, kelab dari Thailand itu dan ketua jurulatihnya perlu membayar USD3,750 atau kira-kira RM15,214.