Jurulatih Adelaide United dari Brazil, Airton Andrioli mengakui kelab-kelab ASEAN semakin menunjukkan peningkatan di pentas Asia.
Pandangan itu dibuat beliau selepas melihat anak buahnya dibelasah 5-0 oleh Lion City Sailors dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Andrioli mengakui pelaburan yang dibuat kelab-kelab ASEAN membantu mereka merapatkan jurang dari segi kualiti dan prestasi di pentas Asia.
“Saya lebih suka mengulas mengenai perlawanan malam ini. Memang sukar untuk menerima keputusan malam ini. Saya tahu banyak perkara yang boleh saya katakan mengenainya,” katanya seperti dilaporkan Football360.
“Kelab-kelab di Asia (terutama di Asia Tenggara) melabur dengan sangat baik. Jika anda tidak melabur dalam bola sepak, anda akan ketinggalan. Jadi dalam aspek itu, Asia (terutama rantau ASEAN) telah menunjukkan prestasi yang baik.
“Anda boleh melihat kemajuan pasukan-pasukan tersebut. Namun, saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenainya.”
Musim 2026/27 menyaksikan kelab-kelab Australia bergelut dalam saingan di peringkat Asia baik dalam ACL2 mahupun Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Selain Adelaide, Newcastle Jets dan Melbourne Victory turut bergelut apabila tewas kepada lawan masing-masing dalam ACLE dan ACL2.
Situasi ini juga menyaksikan Malaysia semakin menghampiri Australia untuk kedudukan ranking pertandingan negara ahli (MA) AFC. Australia kini mengumpul 46.078 mata dengan Malaysia (45.642 mata).


