Sikap tidak profesional bek tengah Indonesia, Justin Hubner ketika meraikan kejayaan bergelar juara FIFA ASEAN Cup ditegur seorang peminat bola sepak.
Seorang peminat bernama Street Kaka menyifatkan tindakan Hubner menolak pemain Thailand, Nattapong Sayriya ketika berlari sebagai tidak profesional.
Ini kerana jika pemain Thailand itu bertindak mengejar dan membalas tindakan bekas bek tengah Wolves itu, hal ini boleh saja mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pasukan.
“Sebagai pemain profesional amat penting utk mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Tindakan pemain Indonesia ini (Justin Hubner) seharusnya dielakkan kerana dianggap provokasi dan boleh menimbulkan pergaduhan yang besar.
“Sepatutnya saling menghormati tak kira kepada pasukan lawan. Rasa hormat itu diraih, bukannya diberi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tindakan Hubner juga dilaporkan mencetuskan rasa kurang senang kapten Thailand, Chanathip Songkrasin. Chanathip melihat pemain Thailand harus menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi tidak kira apa juga keputusan perlawanan.
Meskipun pemain perancang BG Pathum United itu tidak menyebut nama Hubner, ramai percaya kenyataan itu ditujukan kepada bek tengah Fortuna Sittard itu.
“Kita kena hormati pemenang. Apa saja yang berlaku dalam perlawanan, keputusan tetap keputusan. Kita kena ucapkan tahniah kepada Indonesia dan tunjukkan kepada semua orang apa erti semangat kesukanan.
“Tapi berdiri di sini dan melihat mereka meraikan kejayaan, dalam lubuk hati saya, saya fikirkan perkara lain. Sudah tentu ia sesuatu yang pahit.
“Semangat itu masih menyala dalam diri saya. Tapi itu tidak mengapa. Kita akan bertemu lagi di Piala Asia,” katanya seperti dilaporkan All Things Thai Football.
Indonesia muncul juara FIFA ASEAN Cup dengan menewaskan Thailand di pentas final menerusi penentuan penalti.
Sebelum ini, Hubner juga dikecam peminat bola sepak ASEAN kerana tindakannya mengejek Vietnam selepas membantu Indonesia muncul juara.