Kuching City akhirnya menamatkan penantian bola sepak Malaysia selama lebih dua tahun untuk menyaksikan wakil negara meraih kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas menewaskan kelab Korea Selatan, Gangwon FC dengan keputusan 2-0 pada Khamis.
Kemenangan di Stadium Taha Ariffin itu cukup bermakna apabila ia hadir selepas hampir dua tahun wakil Malaysia gagal mencatatkan kemenangan dalam kejohanan kelab kedua tertinggi Asia berkenaan.
Kali terakhir wakil Malaysia meraih kemenangan dalam ACL2 adalah menerusi Selangor FC yang membelasah wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu dengan keputusan 4-0 pada 5 Disember 2024.
Dalam perlawanan tersebut, Yohandry Orozco meledak dua gol pada minit ke-44 dan ke-48 sebelum Nooa Laine serta Alvin Fortes masing-masing menambah satu jaringan untuk melengkapkan kemenangan Gergasi Merah.

Bagaimanapun, penantian untuk menyaksikan satu lagi kemenangan wakil Malaysia berterusan sepanjang kempen 2025/2026 apabila Selangor gagal mencatatkan sebarang kemenangan daripada enam perlawanan peringkat kumpulan yang diharungi.
Situasi itu menyaksikan bola sepak Malaysia perlu menunggu sehingga kempen 2026/2027 untuk kembali menikmati kemenangan dalam kejohanan tersebut menerusi penyertaan Kuching City.
Kuching City juga memulakan kempen 2026/2027 dengan keputusan kurang memberangsangkan apabila tewas 1-2 kepada Phnom Penh Crown, seri 1-1 menentang Kitchee SC sebelum tewas 0-1 kepada Gangwon FC dalam tiga perlawanan terdahulu.
Namun, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya bangkit apabila Safawi Rasid muncul watak utama dengan meledak dua gol seawal minit ke-13 dan minit ke-20 untuk memberikan kelebihan selesa buat tuan rumah.
Jaringan tersebut memastikan Kuching City menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-0 sekali gus menghadiahkan tiga mata pertama mereka dalam kempen ACL2 musim ini.
Kejayaan itu bukan sahaja memberikan suntikan penting buat Kuching City dalam usaha memburu slot ke pusingan 16 terbaik, malah turut menamatkan penantian selama 701 hari buat bola sepak Malaysia untuk kembali menyaksikan wakil negara mencatatkan kemenangan dalam ACL2.


