Kuching City FC perlu memberikan perhatian khusus kepada kapten Gangwon FC, Lee Hyeon-you apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL Two) di Stadium Taha Ariffin, hari ini.
Perkara itu disuarakan oleh pertahanan Kuching City, Filemon Anyi yang mengenal pasti pemain bernombor 97 itu sebagai antara tonggak utama pasukan Korea Selatan berkenaan.
Menurut Filemon, Gangwon memiliki sebuah pasukan yang berdisiplin dengan organisasi permainan yang tersusun rapi, sekali gus menuntut Kuching City untuk lebih berhati-hati sepanjang perlawanan.
“Gangwon merupakan sebuah pasukan yang berdisiplin dan tersusun rapi. Pemain utama mereka ialah kapten pasukan, Lee Hyeon-you yang memakai jersi bernombor 97.
“Beliau merupakan pemain yang serba boleh. Oleh itu, kami perlu berwaspada terhadapnya,” katanya ketika sesi sidang media praperlawanan pada Rabu.
Keupayaan Lee Hyeon-you untuk bermain dalam pelbagai peranan menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh benteng pertahanan The Cats menjelang pertemuan tersebut.
Dalam masa sama, Filemon turut menegaskan kepentingan untuk seluruh pemain Kuching City melaksanakan arahan ketua jurulatih, Aidil Sharin bagi memastikan mereka dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Kami perlu melaksanakan segala arahan yang diberikan oleh jurulatih, Aidil Sharin demi memburu kemenangan pertama dalam kempen ACL Two,” katanya.
Kuching City kini berdepan keperluan untuk mengutip tiga mata selepas hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan terdahulu dalam saingan Kumpulan H.
Skuad The Cats sebelum ini tewas 0-1 kepada Gangwon dalam pertemuan pertama di Korea Selatan pada 29 Oktober lalu, sekali gus menjadikan aksi kali ini sebagai peluang untuk memburu keputusan lebih baik di laman sendiri.
Dengan baki tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan, kemenangan ke atas Gangwon amat diperlukan Kuching City untuk terus menghidupkan peluang memburu slot ke pusingan 16 terbaik ACL Two.


