Konsep & Format AFC Nations League Tertiris?
MakanBola
Malaysia National Team

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dilaporkan telah memperincikan maklumat saingan Nations League dengan kejohanan itu dijangka bermula pada 2030.

The Asian Game melaporkan cadangan Nations League yang dikemukakan AFC menyaksikan 47 negara dibahagikan mengikut tiga tahap. 11 pasukan berada di tahap tiga dengan baki 36 pasukan dipecahkan kepada 18 dalam tahap satu dan dua.

18 pasukan dalam tahap satu dan tahap dua kemudiannya akan bersaing dalam format liga model Switzerland seperti yang digunakan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE). Tahap tiga pula menyaksikan 11 pasukan dipecahkan kepada tiga kumpulan round robin.

Memandangkan kejohanan ini berkait dengan kelayakan ke Piala Asia 2032 dan Piala Dunia 2034, edisi pertama kejohanan akan berlangsung pada musim 2030/31.

Bagi membantu proses peralihan daripada proses kelayakan sekarang kepada Nations League, format kelayakan sedia ada untuk layak ke Piala Asia dan Piala Dunia dikekalkan.

Pusingan kelayakan pertama dan kedua Piala Dunia akan digunakan bagi menentukan kedudukan pasukan dalam tahap satu dan dua. Selepas itu, Nations League akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat sebelum mula dilaksanakan pada 2030/31.

18 pasukan tahap satu dan enam pasukan teratas tahap dua akan layak ke Piala Asia. Selain itu, terdapat juga elemen kenaikan pangkat dan penyingkiran dalam saingan Nations League sekali gus merancakkan lagi persaingan antara semua negara.

Enam pasukan teratas tahap satu akan layak ke Piala Dunia. Pasukan yang menduduki tangga ketujuh hingga ke-10 pula akan berentap untuk aksi playoff Piala Dunia.