UltraSukan

Ini Jumlah ‘Habuan’ Bintang Malaysia Raih Emas Di Sukan Asia

Malaysia Persekutuan Sepaktakraw Malaysia Ini Jumlah ‘Habuan’ Bintang Malaysia Raih Emas Di Sukan Asia
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia
Advertisements

Pingat emas yang dinanti Malaysia selama 36 tahun akhirnya berjaya dibawa pulang, namun jumlah ganjaran yang diterima pemain sepak takraw negara, Syahir Rosdi menerusi kejayaan itu mengundang satu luahan di laman Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Syahir memberitahu bahawa beliau menerima insentif sebanyak RM15,000 menerusi penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Bagaimanapun, jumlah tersebut dibandingkan dengan ganjaran sebanyak RM80,000 yang diterima bagi kejayaan meraih pingat emas dalam acara individu.

Perbezaan jumlah insentif itu turut disentuh Syahir apabila beliau membangkitkan soal pengorbanan dan tekanan yang perlu dilalui atlet untuk mencapai kejayaan di pentas sukan antarabangsa.

“Pengorbanan dan tekanan yang sama dihadapi. Pingat emas yang diraih juga sama untuk dibanggakan,” tulisnya.

Malah, Syahir turut meluahkan perasaannya mengenai perkara tersebut menerusi ungkapan bahawa beliau seakan-akan terpaksa menerima keadaan berkenaan.

“Ya Allah, nak menangis rasa tapi sebagai atlet terpaksa telan,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, Syahir turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) atas sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan mereka di dalam dan luar gelanggang.

Beliau juga tidak melupakan pengorbanan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa mencurahkan masa, tenaga dan keringat demi mencapai kejayaan membawa pulang pingat emas buat negara.

Syahir menegaskan bahawa beliau bersama rakan-rakan sepasukan akan terus berusaha menjaga nama baik sukan sepak takraw Malaysia serta meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.

“Tiada apa yang dapat menghalang kami untuk berputus asa menaikkan sukan sepak takraw di Malaysia. Keranamu Malaysia,” katanya.