FIFA ASEAN Cup: Kim Sang-sik Salahkan Cuaca Panas
MakanBola
Vietnam FF

Pengendali Vietnam, Kim Sang-sik menyifatkan faktor cuaca panas sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi anak buahnya dalam aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup menentang Malaysia.

Pandangan itu disuarakan beliau apabila ditanya tentang prestasi juara ASEAN Hyundai Cup itu dalam perlawanan berkenaan.

Sang-sik percaya faktor cuaca panas sedikit sebanyak menjejaskan faktor kecergasan skuad Vietnam. Hal ini terjadi disebabkan perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) diadakan pada waktu petang.

“Pertama sekali, saya nak mohon maaf kepada semua orang. Cuaca (di SUGBK) sangat panas tetapi para pemain senior dalam pasukan beraksi dengan bagus. Saya amat menghargai usaha mereka,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.

Selain faktor cuaca, faktor tempoh persiapan dan pemulihan yang terhad turut memberi kesan kepada pasukan yang diberi jolokan Naga Emas itu.

“Tempoh persiapan sebenarnya terhad dengan ramai pemain tidak berada pada tahap kecergasan 100%,” ujarnya lagi.

“Saya faham semua peminat kecewa dengan (persembahan) yang ditampilkan skuad kebangsaan Vietnam. Saya mengambil tanggungjawab penuh berkenaan hal itu.”

Aksi menentang Harimau Malaya menyaksikan Vietnam tidak dapat menurunkan skuad terkuat mereka akibat masalah kecederaan. Antara pemain yang terpaksa disisihkan Sang-sik ialah Nguyen Xuan Son dan Do Hoang Hen.

Situasi Vietnam tidak dibantu dengan serangan balas pantas yang digerakkan Malaysia menerusi Bergson da Silva. Pemain gantian, Fergus Tierney muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-62.

Kemenangan ini bukan saja memastikan tempat ketiga milik Harimau Malaya. Malah, Malaysia turut menamatkan rekod buruk ke atas Vietnam dengan kemenangan buat kali pertama sejak tahun 2014.