Vietnam Hilang 3 Tonggak Hadapi Malaysia
MakanBola
Vietnam FF

Kem Vietnam berdepan situasi sukar menjelang aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup 2026 menentang Malaysia apabila difahamkan kehilangan tiga tonggak pasukan.

Kehilangan paling besar sudah pasti membabitkan penyerang utama, Nguyen Xuan Son yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika membantu Vietnam menewaskan Filipina 1-0. Pemeriksaan mendapati pemain berusia 29 tahun itu mengalami koyakan hamstring gred dua dan memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu untuk pulih.

Sementara itu, Vietnam turut kehilangan Bui Hoang Viet Anh yang mengalami kecederaan ketika aksi menentang Pakistan. Pertahanan tengah itu terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-79 sebelum digantikan Adou Minh selepas gagal meneruskan permainan.

Kehilangan Viet Anh pastinya memberi masalah kepada Kim Sang-sik dalam menyusun benteng pertahanan terbaik bagi menghadapi Malaysia. Pemain berkenaan merupakan antara pilihan penting di posisi pertahanan buat pasukan Vietnam.

Selain dua tonggak berkenaan, Vietnam turut tidak dapat menggunakan khidmat Pham Gia Hung atas faktor lain. Situasi itu menyebabkan pilihan pemain Kim Sang-sik semakin terhad ketika skuad tersebut memasuki fasa terakhir kejohanan.

Dalam masa sama, TheThao247 turut melaporkan, Vietnam kini juga berdepan tanda tanya terhadap keadaan pemain kelahiran Brazil, Hoang Hen yang mengalami kecederaan ketika menentang Pakistan. Pemain tengah itu hanya mampu beraksi sehingga minit ke-55 sebelum digantikan Le Pham Thanh Long dan sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai tahap kecederaannya.

Ketiadaan tiga tonggak utama, ditambah pula tanda tanya mengenai kecergasan Hoang Hen, pastinya menuntut Kim Sang-sik mencari formula terbaik bagi memastikan Vietnam kekal kompetitif ketika berdepan Harimau Malaya. Lebih-lebih lagi, Malaysia hadir dengan keyakinan tinggi selepas membelasah musuh tradisi, Singapura 6-0 dalam aksi terdahulu.