Ranking Masa-Nyata: Benam Vietnam, Malaysia Terus Naik Tinggi
MakanBola
Malaysia NT

Malaysia mencatatkan lonjakan drastik dalam carta kemas kini ranking masa-nyata FIFA selepas menumpaskan Vietnam pada Isnin.

Skuad Harimau Malaya menutup kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan bergaya apabila menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Kemenangan tersebut bukan sahaja memastikan Malaysia menamatkan kejohanan di tempat ketiga, malah turut memberikan tambahan penting buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam ranking FIFA.

Berdasarkan kemas kini ranking masa nyata, Malaysia kini mengumpul 1,102.09 mata selepas memperoleh tambahan +6.33 mata hasil kemenangan ke atas Vietnam.

Jumlah tersebut menyaksikan kutipan mata Harimau Malaya meningkat daripada 1,095.76 mata sebelum perlawanan kepada 1,102.09 mata selepas aksi berdepan Vietnam.

Lonjakan mata itu turut membantu Malaysia melonjak tiga anak tangga dalam ranking FIFA daripada kedudukan ke-136 kepada tangga ke-133 dunia.

Kemenangan ke atas Vietnam hadir menerusi jaringan pemain gantian, Fergus Tierney pada minit ke-62 selepas penyerang tersebut melepaskan rembatan kencang yang berjaya menewaskan penjaga gol Vietnam.

Gol tersebut sudah cukup untuk memastikan Malaysia menamatkan perlawanan dengan kemenangan 1-0 dan membawa pulang pingat gangsa pada edisi sulung FIFA ASEAN Cup.

Lebih menarik, Malaysia menamatkan kempen di Indonesia tanpa bolos selepas merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, seri 0-0 dengan Indonesia, menang 6-0 ke atas Singapura dan menewaskan Vietnam 1-0.

Perkembangan ranking masa nyata ini sekali gus menjadi satu lagi perkembangan positif buat Harimau Malaya selepas mereka berjaya menampilkan aksi konsisten sepanjang kempen FIFA ASEAN Cup 2026.

Walaupun kedudukan tersebut masih tertakluk kepada kemas kini rasmi FIFA, lonjakan ke tangga ke-133 dunia memberikan gambaran jelas mengenai kesan kemenangan ke atas Vietnam terhadap kedudukan Malaysia dalam ranking dunia.

Dengan tambahan 6.33 mata tersebut, Harimau Malaya kini berpeluang menutup kempen FIFA ASEAN Cup dengan peningkatan ketara dari segi kutipan mata serta kedudukan dalam ranking FIFA.