Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan jaguh ASEAN, Vietnam dalam aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup.
Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan menamatkan kempen kejohanan dengan pencapaian tempat ketiga. Malah, ini juga peluang buat anak buah Tan Cheng Hoe meleburkan rekod cemerlang Vietnam ke atas pasukan itu buat kali pertama sejak 2014.
Cheng Hoe membuat kejutan dengan merehatkan Arif Aiman Hanapi dan Brad Tapp. Sebaliknya, beliau memberi peluang kepada Hong Wan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Harith Haiqal Adam Afkar beraksi dalam kesebelasan utama.
Sebaik perlawanan bermula, Vietnam yang dibimbing Kim Sang-sik berusaha mencari gol awal menerusi Williams Minh Hoang, Nguyen Hai Long dan Khoa Ngo.
Malangnya, bentang Harimau Malaya diketuai Ubaidullah kerap menggagalkan setiap percubaan yang direncana tiga tonggak serangan juara ASEAN Hyundai Cup itu.
Ramalan Sang-sik bahawa Bergson da Silva bakal menguji benteng Vietnam dilihat menjadi kenyataan. Penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sentiasa mencari peluang menguji penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang.
Cubaan terbaik Bergson hadir pada minit ke-35. Walau bagaimanapun, percubaan penyerang berdarah Brazil itu pantas dinafikan Le Giang.
Kedua-dua pasukan terus mencari peluang memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Cheng Hoe membuat satu pertukaran dengan memasukkan Syahmi Safari sebagai pengganti Quentin Cheng. Ini disusuli kemasukan Fergus Tierney dan Syahir Bashah sebagai pengganti Bergson dan Hong Wan.
Kemasukan tiga pemain gantian itu mengubah momentum perlawanan memihak kepada Malaysia. Tierney meledakkan gol pendahuluan buat Harimau Malaya pada minit ke-62.
Vietnam menyangka mereka dianugerahkan sepakan penalti apabila Harith Haiqal melakukan kekasaran dalam kotak penalti. Walau bagaimanapun, pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin tidak memberi penalti selepas melihat semula insiden itu.
Pahlawan Bintang Emas terus memberi tekanan kepada Harimau Malaya tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini cukup bermakna buat anak buah Cheng Hoe kerana mereka akhirnya melakar kemenangan ke atas Vietnam buat kali pertama sejak 2014. Malaysia juga kekal tanpa bolos sepanjang kejohanan dengan rekod 360 minit.