Pengendali interim Malaysia, Tan Cheng Hoe mengambil langkah berani dengan merehatkan dua tonggak, Arif Aiman Hanapi dan Brad Tapp untuk aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup menentang Vietnam.
Ini berdasarkan senarai kesebelasan utama skuad negara yang diumumkan Malaysia National Team di semua platform rasmi pada Isnin.
Stuart Wilkin dijangka mengisi ruang yang ditinggalkan Arif Aiman di sayap kanan. Stuart tidak asing beraksi di posisi itu kerana pernah melakukannya semasa skuad negara dibimbing jurulatih Australia, Peter Cklamovski.
Ketiadaan kapten, Dion Cools turut mendorong Cheng Hoe menurunkan Ubaidullah Shamsul Fazili dan Harith Haiqal Adam Afkar sebagai bek tengah. Ubaidullah dibawa masuk menggantikan Cools dengan Harith Haiqal menggantikan Tapp.
Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Hong Wan turut diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Sebelum ini, beliau meraih penampilan pertama bersama Harimau Malaya sebagai pemain gantian ketika menentang Singapura.
Hong Wan dijangka bergandingan dengan arkitek Selangor FC, Nooa Laine untuk mengemudi enjin tengah skuad kebangsaan.
La’Vere Corbin Ong diberi tanggungjawab sebagai kapten buat Harimau Malaya. Gandingan Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo menjadi sandaran Cheng Hoe merobek gawang Vietnam.